JULAI 2021

Hari Sarawak Terus Jadi Titik Perkukuh Perpaduan Dan Keharmonian Rakyat Negeri Ini


KUCHING: Hari Sarawak akan terus menjadi titik permulaan bagi memperkukuhkan perpaduan, keharmonian dan budaya hormat-menghormati antara rakyat pelbagai bangsa, keturunan dan agama di negeri ini.

Ketua Menteri Sarawak, Datuk Patinggi (Dr) Abang Abdul Rahman Zohari Tun Datuk Abang Openg berkata, hari ini genap 58 tahun pentadbiran negeri berada dalam tangan anak Sarawak sendiri.

Menurutnya, banyak yang sudah dicapai, namun banyak yang masih perlu dilakukan untuk mencapai impian ke arah menjadikan Sarawak sebuah negeri yang maju dan rakyatnya berpendapatan tinggi.  

“Saya amat yakin kita boleh mencapai impian ini menjelang 2030 jika kita semua berusaha dengan gigih dan memberi sepenuhnya tumpuan kepada matlamat kita untuk menjadi ekonomi yang maju dalam masa sembilan tahun lagi mengikut acuan kita sendiri. 

“Saya juga telah melancarkan Pelan Pasca COVID-19 pagi tadi dan saya begitu yakin bahawa semangat sebagai anak Sarawak yang dipamerkan ketika berhadapan dengan COVID-19 akan membawa kita kepada kejayaan untuk mencapai matlamat pelan tersebut pada 2030,” katanya.

Beliau berkata demikian semasa menyampaikan ucaptama sempena sambutan Hari Sarawak 2021 di Bangunan Dewan Undangan Negeri (DUN) di sini pada malam Khamis.

Hadir sama, ketiga-tiga Timbalan Ketua Menteri Sarawak iaitu Datuk Amar Douglas Uggah Embas,  Tan Sri Datuk Amar Dr James Jemut Masing dan Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan, Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan Sarawak merangkap Menteri Bertanggungjawab bagi sambutan Hari Sarawak 2021, Dato Sri Prof Dr. Sim Kui Hian serta barisan Menteri Kabinet negeri Sarawak.

Dalam pada itu, Ketua Menteri menegaskan, peruntukan yang besar tidak menjamin kejayaan jika iklim politik tidak mengizinkan. 

Tegas beliau, pergolakan politik dan perebutan kuasa antara parti-parti politik akan menyebabkan keadaan tidak stabil dan tidak sihat kepada pembangunan ekonomi.

“Walau apa pun yang dirancang oleh kerajaan, peruntukan yang besar tidak menjamin kejayaan jika iklim politik tidak mengizinkan. 

“Pergolakan politik dan perebutan kuasa antara parti-parti politik akan menyebabkan keadaan tidak stabil yang tidak sihat kepada pembangunan ekonomi. Wang asing akan mengalir keluar dan para pelabur sudah pasti tidak akan melabur di negara-negara atau negeri-negeri yang terumbang-ambing dari segi suasana politiknya,” ujarnya. -EDISI UKAS

Sumber dari : UKAS